Selasa, 17 Desember 2013

Lori bertembung kereta 3 maut 2 parah

TAWAU - Tiga termasuk seorang kanak-kanak maut dan dua lagi cedera parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Jalan Bombalai-Merotai petang, semalam.

Dalam kemalangan pukul 4.30 petang itu, mereka yang terbunuh dikenali sebagai Hasan Batin, 60, Zaimah Kahar, 40, dan Sayyid Muhammad Ibnu Qayyim Rogiman, setahun.

Dua yang cedera parah ialah bapa dan ibu kepada kanak-kanak itu, Rogiman Syed Aidit dan isteri Arnizah Kamis, 25.

Ketua Polis Daerah, ACP Awang Besar Dullah dalam satu kenyataan hari ini, berkata kesemua mereka dipercayai hubungan kekeluargaan.

Keluarga ini dipercayai dalam perjalanan dari Tawau ke Kalabakan, apabila kereta yang dipandu Rogiman bertembung dengan lori tersebut yang dipercayai gagal memasuki laluan kiri selepas memotong sebuah kenderaan lain, katanya.

Menurut Awang Dullah, sejurus kejadian pemandu lori itu melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat mengenai pemandu lori itu diminta tampil membantu siasatan, katanya. - Bernama

Tidak ada komentar:

Posting Komentar